Mohd Shuhaily (tiga dari kiri) menunjukkan barang rampasan sindiket penipuan belian barang online yang didalangi warga Taiwan.

BUKIT MERTAJAM – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket penipuan belian barang secara online yang didalangi warga Taiwan selepas menyerbu sebuah banglo di Batu Feringghi pada Sabtu lalu.

Serbuan di banglo tiga tingkat pada jam 6.30 petang itu membawa kepada tangkapan 17 lelaki dan enam perempuan warga Taiwan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan menawarkan pelbagai barangan berjenama seperti beg tangan, minyak wangi dan barangan lain yang dijual secara online.

Kata beliau, mangsa yang terpedaya dengan tawaran iklan diarahkan membayar melalui platform pautan yang diberikan oleh sindiket.

Mengulas mengenai serbuan, Mohd Shuhaily berkata,  pihaknya berdepan kesukaran ketika masuk ke dalam premis terbabit susulan ia dikunci oleh sindiket.

“Kita ambil masa kira-kira 10 minit untuk masuk ke dalam banglo terbabit sebelum mendapati suspek telah memadamkan rekod transaksi dan bahan bukti.

“Siasatan awal mendapati tiada akaun bank tempatan yang terlibat dengan urusan transaki ini dan kita percaya sindiket ini mensasarkan mangsa dalam kalangan warganegara sama.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengenal pasti sekiranya ada rakyat tempatan yang menjadi mangsa mereka,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan sama, 46 buah telefon bimbit pelbagai jenama, 14 komputer riba, lapan buah tablet, enam unit walkie-talkie serta 12 keping kad prabayar.

Tambah Mohd Shuhaily, kesemua mereka yang berusia lingkungan 19 hingga 48 tahun itu tiba di negara ini pada Mei lepas selepas tertarik dengan tawaran kerja yang diiklankan melalui akhbar di Taiwan yang menjanjikan gaji RM7,000 sebulan.

“Bagaimanapun, siasatan dijalankan mendapati kesemua mereka hanya dibayar gaji sekitar RM5,000 seorang.

“Kesemua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette