Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Sidang media yang dibuat oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam telah membuktikan beliau menjadi liabiliti kepada UMNO bukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Enggan mengulas panjang, Datuk Nur Jazlan secara sinis berkata, beliau mendoakan Tajuddin yang pernah dipecat daripada UMNO pada tahun 1995 kerana politik wang sehingga mendapat gelaran Six Million Dollar Man selamat maju jaya sebagai Duta Malaysia ke Indonesia.

“Beliau tidak pernah berubah sejak 30 tahun lalu walaupun terpalit dengan macam-macam isu termasuk kes Prasarana sehingga menimbulkan banyak tanda tanda rakyat pada hari ini.

“Saya berdoa dan berharap agar hubungan Malaysia dan Indonesia akan terus makmur dengan kehadiran Tajuddin sebagai wakil diplomat  kita di sana nanti mengambil kira kepentingan Jakarta dan negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Diasak dengan pendedahan Tajuddin tentang wujud akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli Parlimen UMNO yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Nur Jazlan dengan ringkas berkata; “Inilah seni politik. Dalam seni itu ada taktik dan strategi.”

Cuma beliau mempersoalkan dakwaan Tajuddin kononnya seramai 130 ketua bahagian tidak menyokong Ahmad Zahid.

Ini kerana tidak pernah ada usul daripada mana-mana bahagian yang mahu Ahmad Zahid berundur sebagai presiden.

“UMNO baru sahaja selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mesyuarat agung luar biasa (EGM). Dalam kedua-dua mesyuarat itu tidak pernah ada apa-apa gesaan supaya Ahmad Zahid berundur.

“Jadi mana bukti dakwaan Tajuddin semalam?” soalnya.

Nur Jazlan berkata, Tajuddin yang pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO sewajarnya akur dan menghormati keputusan yang dibuat semasa AGM dan EGM kerana ia datang dari akar umbi parti dan bukannya presiden.

“Cuma saya mahu ingatkan Tajuddin, dalam UMNO ini akar umbi adalah kuasa besar. Dengan adanya akar umbilah UMNO masih ‘bernafas’ sehingga saat ini,  bukan ahli Parlimen,” katanya.

Dalam sidang media semalam, Tajuddin mendakwa Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Najib Razak untuk menekan Ahmad Zahid supaya meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Sehingga pada satu peringkat gerakan mengumpul tandatangan daripada ketua-ketua bahagian dibuat untuk mendesak peletakan jawatan Ahmad Zahid.

Dakwa Tajuddin, kajian awal dalaman parti menunjukkan langkah ini disokong oleh 130 daripada 191 Ketua Bahagian UMNO. – MalaysiaGazette