KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia pada bulan Mei 2022 bernilai RM228.4 bilion (peningkatan 33.6% tahun ke tahun) dengan nilai eksport RM120.5 bilion (peningkatan 30.5% tahun ke tahun) dan import bernilai RM107.9 bilion (peningkatan 37.3% tahun ke tahun).

Import meningkat 98.5 peratus tahun ke tahun kepada RM227.5 juta bagi nilai import gandum belum dikilang ke Malaysia pada Mei 2022.

Di peringkat negeri, Selangor mencatatkan import tertinggi bagi gandum belum
dikilang bernilai RM101.0 juta (44.4%), diikuti Pulau Pinang (RM74.2 juta, 32.6%) dan Sabah (RM19.0 juta, 8.3%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, import pada bulan Mei 2022 meningkat RM29.3 bilion (+37.3%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan import dicatatkan di Pulau Pinang (+RM10.7 bilion), Johor (+RM5.2 bilion), Selangor (+RM3.8 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM3.4 bilion), Kedah (+RM1.8 bilion), Negeri Sembilan (+RM1.2 bilion), Pahang (+RM837.4 juta), Perak (+RM739.9 juta), Sarawak (+RM573.2 juta), Terengganu (+RM258.5 juta) dan Sabah (+RM215.4 juta).

Walau bagaimanapun, import menurun di Melaka (-RM137.0 juta), Perlis (-RM14.3 juta), Kelantan (-RM8.5 juta) dan W.P. Labuan (-RM1.2 juta).

Manakala eksport juga meningkat sebanyak RM28.2 bilion (+30.5%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM13.3 bilion), Johor (+RM5.2 bilion), Sarawak (+RM3.6 bilion), Kuala Lumpur (+RM2.9 bilion), Selangor (+RM2.2 bilion), Labuan (+RM1.1 bilion), Kedah
(+RM1.1 bilion), Sabah (+RM903.5 juta), Pahang (+RM56.1 juta) dan Perlis (+RM30.1 juta).

Namun eksport menyusut di Melaka (-RM951.0 juta), Perak (-RM443.8 juta), Terengganu (-RM375.1 juta), Negeri Sembilan (-RM193.9 juta) dan Kelantan (-RM25.0 juta).

Mohd Uzir berkata, antara lima negeri pengimport utama, Pulau Pinang menjadi penyumbang utama dengan 26.3 peratus, diikuti oleh Selangor (24.1%), Johor (19.1%), Kuala Lumpur (8.8%) dan Kedah (5.8%).

Sementara itu, bagi eksport, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.0 peratus, diikuti oleh Johor (21.0%), Selangor (16.8%), Sarawak (8.8%) dan Kuala Lumpur (4.5%). – MalaysiaGazette