Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berjalan keluar selepas selesai menghadiri ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – “Kalau rasa nakkan pasangan orang, tunggu lah dia bercerai dulu.

”Kalau dah bercerai tunggulah habis edah,” komen Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya, beliau membuat komen itu selepas diminta pandangan mengenai tawaran Pas Perak yang menawarkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk bertanding atas tiket Pas.

Baru-baru ini Pas Perak menawarkan kerusi kepada Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak untuk mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membuat tawaran itu selepas Tajuddin digugurkan daripada MKT.

Namun, kata Razman, tawaran itu tidak bermaksud Pas mahu mencampuri urusan atau kemelut dalaman mana-mana parti lain.

Bagaimanapun, Shabery yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO secara sinis berkata, selain tunggu habis edah, pihak tersebut juga perlu tengok apakah individu yang bakal ‘dikahwini’ itu suka dedahkan rahsia rumah tangga pada khalayak ramai.

Tambah Shabery, pengetahuan agamanya berhubung perkara itu tidak sehebat ustaz-ustaz dan mungkin pandang beliau salah kerana ‘ustaz’ semua betul. – MalaysiaGazette