Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
pasukan khas tersebut berperanan untuk mengumpul semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai.

Maklumat tersebut akan digunakan bagi merangka strategi
serta mengkoordinasi tindakan bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Pasukan khas tersebut akan berfungsi seperti pasukan menguruskan pandemik Covid-19 dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

“Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia.

“Langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Pasukan tersebut dianggotai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Turut menganggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Pegawai khusus setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. – MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

  1. Semua menteri dlm task force ini adalah orang yg sama diamanahkan untuk mengendalikan masalah inflasi, bekalan makanan, harga barang dan ekonomi. Dan mereka gagal melaksanakan amanah tersebut. Kemudian muka gagal yg sama dilantik semula? Patutnya PM pecat jaa mcm Jokowi pecat menteri yg tak perform…ni namanya PM cuba ‘rebranding’…isi sama..tukar kulit jaa…merepek!

Comments are closed.