Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru

JOHOR BAHRU –  Ketiadaan tanah rizab kerajaan merupakan punca utama bandar raya ini kekurangan tempat letak kenderaan.

Kesukaran untuk mendapatkan parkir di bandar ini diburukkan lagi selepas sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada 1 April lalu, kata Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman

Bagaimanapun, katanya, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah menggariskan beberapa inisiatif bagi menyelesaikan perkara tersebut sekali gus meningkatkan tahap aksesibiliti di pusat bandar itu.

“Kenderaan yang diletak di tempat tidak dibenarkan perlu diambil tindakan segera supaya tidak mengganggu lalu lintas dan memberi imej kurang baik di pusat bandar Johor Bahru.

“Bagi penyelesaian jangka pendek, MBJB sedang dalam perbincangan bersama pihak swasta yang memiliki tanah tetapi belum dibangunkan supaya dijadikan tempat letak kenderaan sementara, selain pemilik bangunan komersial yang tidak beroperasi diminta membuka tempat parkir masing-masing.

“MBJB juga merancang menyediakan perkhidmatan ‘electric shuttle bus’ di dalam dan di pinggir pusat bandar bagi memudahkan orang ramai memasuki pusat bandar tanpa membawa kenderaan mereka ke pusat bandar bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan membendung kenderaan yang diletakkan tanpa kebenaran di pusat bandar,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini.

Beliau berharap perkhidmatan pengangkutan awam yang dirancang seperti Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit dan landasan berkembar KTMB dapat dilaksana dan disiapkan mengikut jadual sebagai pelan penyelesaian jangka masa panjang.

“Kedua-dua perkhidmatan itu amat penting bagi memudahkan orang ramai masuk ke pusat bandar tanpa membawa kenderaan peribadi, selain memberi sokongan kepada operasi Rapid Transit Sistem Johor Bahru-Singapura yang dijangka akan beroperasi pada 2026.

“MBJB juga amat mengalukan-alukan langkah kerajaan negeri untuk mengkaji pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi mengatasi isu kesesakan, sekali gus menyepadukan sistem pengangkutan di bandar raya ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd. Noorazam memaklumkan tempat letak kenderaan berbayar oleh pihak swasta di kawasan pusat bandar masih mempunyai kapasiti untuk menampung keperluan tempat letak kenderaan dan pihaknya menggalakkan orang awam menggunakan kemudahan tersebut.- MalaysiaGazette