S. Pandiaraj dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas didapati bersalah memijak kepala seorang pemuda sehingga menyebabkan kematiannya, enam tahun lalu.

MELAKA – Seorang peniaga dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah memijak kepala seorang lelaki sehingga menyebabkan kematiannya enam tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin memutuskan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pembelaan di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, hari ini.

Sebaik hukuman ditetapkan, tertuduh, S. Pandiaraj, 33, kelihatan tenang sambil memandang wajah ahli keluarganya yang berada di galeri awam.

Hakim Ahmad Nafsy dalam penghakimannya berkata, setelah meneliti fakta forensik dan laporan bedah siasat, mangsa, S. Ammos Devaprraven, 27, didapati meninggal dunia bukan disebabkan kemalangan jalan raya.

Menurutnya, mahkamah mendapati kecederaan dialami mangsa tidak konsisten dengan impak nahas sebaliknya kematian itu akibat tindakan tertuduh yang telah mencederakan mangsa sehingga menyebabkan kematiannya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua lagi yang masih bebas bagi mencapai niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap S. Ammos Devaprraven, 27, di Jalan Tun Ali, kira-kira pukul 4.30 pagi pada 23 Oktober 2016.

Bagi tindakan itu, tertuduh yang diwakili peguam Paul Krishnaraja didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli dalam hujahannya menegaskan, dua saksi mengatakan mangsa telah dipijak di kepala oleh tertuduh selama satu minit.

Ujarnya, saksi kemudian membawa mangsa ke Hospital Melaka dan membuat laporan palsu si mati telah dilanggar lari.

Saksi bagaimanapun telah menghubungi abang si mati selepas itu dan memaklumkan adiknya sebenarnya telah dipijak di muka.

Menurut saksi, jelasnya, kejadian itu berlaku disebabkan tertuduh tidak berpuas hati dengan kata-kata si mati yang mengeluarkan perkataan ‘orang mabuk apa dia cakap hari ini, esok sudah lupa’.

Terdahulu, seramai 16 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan manakala hanya tertuduh mewakili pihak pembelaan sepanjang prosiding berlangsung sejak 2018. – MalaysiaGazette