Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 JUN 2022.

KUALA LUMPUR –  Saksi ke-10 kes pendakwaan penganiayaan dan pengabaian Bella, menafikan terdapat pegawai polis lain menyebarkan gambar dan video remaja kurang upaya berkenaan di media sosial.

Juruanalisa Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Mior Samsul Abd Rahman dalam masa yang sama tidak bersetuju dengan cadangan terdapat pegawai polis lain yang mengendalikan dan memegang telefon bimbit yang diterimanya daripada Inspektor Suhaili Mahad.

“Tidak ada,” katanya ringkas menjawab soalan peguam bela Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Sesyen hari ini.

Peguam, Asiah Jalil ketika pemeriksaan balas mencadangkan agar Mior Samsul bersetuju dengannya terdapat pegawai polis lain yang mengendali telefon bimbit mengandungi video dan gambar Bella.

Sementara itu,  saksi itu turut mengaku tidak tahu sekiranya video yang ditularkan oleh pemilik Facebook ‘Mona Din’ adalah video yang sama seperti yang diterima dan dianalisanya.

“Saya cadangkan gambar-gambar yang tersebar 12 Ogos bersumberkan daripada telefon bimbit Facebook ‘Mona Din’ yang ada pada pihak polis?,” tanya peguam berkenaan.

“Saya tidak tahu,” jawab Mior Samsul.

Sebagai rekod, Mior Samsul merupakan pegawai polis yang bertanggungjawab menganalisa video Bella.

Analisa itu dibuat dengan mempegunkan video untuk dijadikan gambar bagi tujuan menjelaskan imej.

Rakaman video berkenaan  ditayangkan kepada Mahkamah Sesyen pada 17 Jun  lalu, menunjukkan dua rakaman video memaparkan kecederaan dialami Bella dan diselamatkan oleh seorang saksi.

Sebelum ini, Rumah Bonda dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang menyebarkan maklumat sulit penghuni rumah kebajikan itu, termasuk semua dakwaan yang ditimbulkan pengguna Facebook ‘Mona Din’ dan ‘Aliff Ahmad’ yang disebarkan secara meluas.- MalaysiaGazette