Azhari Shaari

SHAH ALAM – Budaya terlepas pandang dalam penyelenggaraan Stadium Shah Alam tidak boleh diterima malah alasan Kerajaan Negeri Selangor itu bagi menghalalkan tindakan perobohan fasiliti sukan itu mendapat bantahan pelbagai pihak.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menegaskan, kecuaian itu tidak sepatutnya berlaku dan alasan tersebut hanya menyerlahkan sikap kurang bijak kerajaan negeri dalam memelihara aset dan ikon di Asia Tenggara itu.

“Isu ini tak timbul kalau pihak Kerajaan Negeri Selangor membuat penyelenggaraan secara berkala, kalau dari awal diselenggara, saya tak rasa akan wujud kos tinggi baik pulih kerosakan.

“Budaya terlepas pandang ini saya rasa itu satu alasan kurang bijak, saya rasa kalau kita boleh selenggara secara berkala dan mengikut jadual, saya rasa isu baik pulih ini tidak akan menyebabkan kos yang tinggi,” katanya pada sidang media, di luar pekarangan Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.

Azhari Shaari bersama penduduk membuat bantahan perobohan Stadium Shah Alam untuk digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2022.

Semalam, media melaporkan bangunan ikonik di Seksyen 13, di sini yang pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara didakwa akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil.

Pembinaan stadium baharu itu dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam yang boleh memuatkan sehingga 80,300 orang pada satu-satu masa.

Azhari juga berkata, kerajaan negeri juga tidak perlu melantik konsultan membabitkan kos rundingan yang tinggi hingga membebankan perbelanjaan negeri.

“Kalau kerajaan negeri kurang arif atau tiada pengalaman, boleh rujuk dengan pengurusan Stadium Bukit Jalil dan Stadium Putra bagaimana mereka mengurus dan mempromosikan stadium masing-masing.

“Mereka bukan sahaja mempromosikan aktiviti sukan bahkan program lain turut dianjurkan sekitar kawasan Kompleks Sukan Bukit Jalil yang mendatangkan sumber pendapatan lain seperti penganjuran karnival dan sebagainya.

“Kini, tak guna nak mencari salah sesiapa, tetapi pendirian kami jelas, struktur asal Stadium Shah Alam yang ikonik dan lambang kemegahan Selangor ini perlu dipertahankan. Jangan roboh,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri perlu mencontohi pentadbiran Barisan Nasional (BN) di Selangor sebelum ini yang membenarkan peniaga-peniaga kecil berniaga di sekitar stadium tersebut.

“Sebelum ini, setiap minggu ada pasar tani untuk peniaga-peniaga kecil berniaga setiap hari Ahad.

“Apakah nasib mereka kalau diroboh, dulu setiap tahun ada karnival Sure Heboh di sini, bermakna tempat ini memang strategik untuk membuat pelbagai program dan menjana ekonomi masyarakat setempat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette