Tuan Ibrahim Tuan Man

PUTRAJAYA – Pihak yang tidak bertanggungjawab mencemarkan sungai bakal berhadapan hukuman lebih berat iaitu kompaun mencecah jutaan ringgit dan penjara mandatori.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan hukuman itu dengan meminda undang-undang sedia ada bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar.

Jelas beliau, draf pindaan itu kini dalam proses semakan di peringkat terakhir sebelum dibawa ke Dewan Rakyat pada hujung tahun ini untuk diluluskan.

“Kita sedang buat semakan untuk meningkatkan kadar hukuman lebih tinggi sampai peringkat jutaan ringgit termasuk mandatori penjara bagi yang melakukan kesalahan dan akta-akta kita untuk meningkatkan dalam proses semakan di peringkat akhir,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Portal Pekerjaan Hijau.

Terdahulu, Tuan Ibrahim berkata, kompaun sedia ada bagi pelaku pencemaran sungai tidak memadai.

Sementara itu, beliau memberitahu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis sedang mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membuang sisa kilang di Air Sungai Chandong di Pulau Indah yang mengakibatkan warnanya berubah kepada merah.

Katanya, hasil siasatan mendapati sisa kilang dibuang berdekatan dengan sungai tersebut ketika tengah malam.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak polis untuk menjejak mereka yang membuang sisa itu. Ia bukan tempat buang sampah. Kita syak pembuangan berlaku pada tengah malam, waktu biasanya hujan nak turun, tengah malam mereka akan buang. Bukan secara langsung dari kilang,” tambah beliau.

Air Sungai Chandong di Pulau Indah dilaporkan bertukar warna kepada merah hari ini.

Pencemaran itu dikesan berlaku di hilir kolam tebatan banjir bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Jalan Sungai Pinang.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menggalakkan orang awam melaporkan perbuatan pencemaran sungai dengan segera termasuk merakamkan kegiatan tersebut.

“Kalau boleh rakam siapa yang buat (pencemaran itu), kami akan beri insentif kepada yang buat pelaporan sehingga dapat kita tangkap penjenayah alam sekitar ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette