Noh (kanan) menyampaikan sijil kepada peserta Seminar Pembangunan Kapasiti Kontraktor Aplikasi Pengecatan dan Lapisan Senibina Anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PPK) di Hotel Double Tree by Hilton di Pulau Pinang.

BATU FERINGGHI – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bersedia menaikkan kadar pembiayaan Skim Kontrak-I daripada kepada RM200,000 berbanding kadar sedia ada.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kenaikan kepada kontraktor G1 itu dilakukan susulan mereka terkesan selepas pandemik Covid-19 selain kenaikan kos bahan binaan ketika ini.

“Insya-Allah pada dasarnya sudah lulus. Saya akan bincang dengan Menteri Kewangan untuk dapatkan kebenaran.

“Sejak 2015 hingga sekarang kita telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 bilion dengan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini TEKUN Nasional telah menyalurkan pinjaman sebanyak RM111 juta kepada 45,000 kontraktor G1.

“Hal ini menunjukkan apabila masuk fasa peralihan endemik kerja pembinaan kembali bangkit dan bidang ini sedang berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Seminar Pembangunan Kapasiti Kontraktor Aplikasi Pengecatan dan Lapisan Senibina anjuran Pusat Khidmat Kontraktor di Hotel Double Tree by Hilton di sini, hari ini.

Tambah Noh, secara dasar perkara itu tidak menjadi masalah kerana ia menggunakan sumber kewangan dalaman TEKUN Nasional tanpa melibatkan peruntukan kerajaan.

Melalui data semasa sehingga Mei 2022, sebanyak 132,270 syarikat yang telah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dengan sejumlah 70,748 kontraktor telah diberi pengiktirafan Sijil Taraf Bumiputera oleh PKK bagi semua gred. – MalaysiaGazette