Enam murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Saujana Utama telah mengalami kecederaanringan manakala pemandu berusia 52 tahun maut selepas kereta Exora yang dinaiki mereka telah dirempuh Perodua Aruz yang dipandu seorang wanita dalam kejadian tengahari tadi di Sungai Buloh.ihsan foto: Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang maut manakala enam murid sekolah kebangsaan cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor hari ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, pemandu Proton Exora berusia 52 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Enam murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Saujana Utama telah mengalami kecederaanringan manakala pemandu berusia 52 tahun maut selepas kereta Exora yang dinaiki mereka telah dirempuh Perodua Aruz yang dipandu seorang wanita dalam kejadian tengahari tadi di Sungai Buloh.ihsan foto: Bomba Selangor

“Siasatan dan pemeriksaan pasukan sejurus sampai di lokasi kemalangan mendapati pelanggaran kuat membabitkan sebuah kereta Proton Exora dan Perodua Aruz.

“Menurut saksi di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu berlaku apabila kereta pelbagai guna (MPV) Aruz yang dipandu seorang wanita bersama penumpang wanita keluar dari simpang jalan sebelum merempuh kereta Proton Exora yang dipandu oleh seorang lelaki yang membawa enam murid yang tamat sesi pagi sekolah dari arah sebelah kiri jalan.

“Rempuhan itu mengakibatkan Exora yang dipandu pemandu lelaki berusia 52 tahun itu bersama enam murid sekolah terbalik dan bergolek ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut dalam onsiden tengahari itu mendapati enam murid sekolah yang berada dalam Exora telah mengalami kecederaan ringan.

Keadaan kereta Perodua Aruz yang remuk teruk dipandu seorang wanita selepas merempuh sebuah kenderaan yang dinaiki enam murid sekolah di Sungai Buloh tengahari tadi.ihsan foto: Bomba Selangor

“Pemandu yang telah meninggal dunia dikenalpasti identiti sebagai Muhamad Zaki Ariffin, 52, tersepit di tempat pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dihantar ke hospital berhampiran untuk proses bedah siasat.

“Enam murid sekolah yang yang terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan berusia tujuh tahun dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Dalam pada itu pemandu wanita dan penumpang kereta Aruz tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu dan sekadar mengalami kesukaran bernafas turut di rujuk ke hospital sama menaiki ambulans untuk rawatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette