Mohd Nasri (kiri) dan Abdul Wahad didakwa atas 60 pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen berjumlah hampir satu juta ringgit di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 60 pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen berjumlah hampir satu juta ringgit antara April 2019 hingga Februari 2020.

Kedua-dua tertuduh, Mohd Nasri Abdul Rahim, 36, dan Abdul Wahab S Mohd Mydin, 53, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Hakim Norhayati Mohd Yunus.

Bagi 30 pertuduhan terhadap Mohd Nasri, dia didakwa menerima wang deposit berjumlah hampir RM1 juta daripada tiga individu yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang sejak April 2019 hingga 14 Februari 2020.

Mohd Nasri dan Abdul Wahab dibenarkan ikat jamin.

Manakala Abdul Wahab yang turut berdepan 30 pertuduhan bersubahat dengan Mohd Nasri untuk mendapat deposit berjumlah hampir RM1 juta daripada mangsa, lokasi serta tarikh yang sama.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137(1) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fazliyana Ahmad dan Qatrin Nada Harun manakala Mohd Nasri diwakili peguam bela, S.Raveentharan serta Muhamad Shahrul Nizam Md Roni pula mewakili Abdul Wahab.

Mahkamah menetapkan jaminan RM212,000 bagi 30 pertuduhan terhadap Mohd Nasri dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Abdul Wahab pula, dibenarkan ikat jamin RM126,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serah dokumen pada 1 Ogos depan.

Media tempatan pada November tahun lalu melaporkan Mohd Nasri didakwa bersama dua lagi individu atas pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen bagi tujuan pelaburan daripada beberapa individu berjumlah RM2.14 juta antara Januari hingga Mac 2020. –  MalaysiaGazette