ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.

KUANTAN – Mayat seorang wanita warga emas yang ditemui di Sungai Kuantan hari ini merupakan pesakit mental Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Tan Kah Choo, 67, ditemukan pasukan bomba berhampiran Kilang Air Batu Nikmat di Kemunting, di sini, pada jam 3.50 petang.

Katanya, siasatan awal polis menemukan satu beg galas, sepasang selipar dan juga buku rawatan pesakit psikiatri HTAA Kuantan berhampiran bangunan MBK Taman Esplanade.

“Menurut pengadu merupakan adik mangsa, lebih kurang 8 pagi telah membawa kakaknya ke wadpPsikiatri Kuantan untuk untuk rawatan susulan.

“Pengadu telah meninggalkan kakaknya buat sementara waktu di hadapan wad psikiatri HTAA untuk mencari parkir kenderaan,” katanya, hari ini.

Namun apabila pengadu pergi ke wad psikiatri beliau dapati kakaknya telah tiada dan usaha mencari telah dijalankan tetapi gagal ditemui, ujarnya.

Katanya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kakak pengadu mempunyai masalah kemurungan akibat penyakit kulit yang dihadapi.

Kakak pengadu juga selalu mengeluh dan mengatakan lebih baik mati daripada menanggung banyak penyakit di samping menerima tekanan kerana menjaga bapanya yang uzur, jelasnya.

Mayat mangsa dibawa ke HTAA untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette