Pemain Kuala Lumpur City FC, Muhammad Hadin Azman (tengah) cuba melepasi pemain Tampines Rovers, Andrew Aw (kiri) pada perlawanan Piala AFC bagi kumpulan H di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City FC (KL City) mencipta sejarah layak ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022 selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, di sini, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan KL City menamatkan saingan Kumpulan H dengan empat mata untuk muncul naib juara terbaik daripada tiga kumpulan Zon Asean itu.

Untuk saingan kali ini, hanya juara daripada tiga kumpulan dan satu naib juara terbaik layak ke pusingan berikutnya.

Tuan rumah yang juga juara Piala Malaysia musim lalu mendahului aksi menerusi rembatan ketua pasukan Paulo Josue di minit ke-16 selepas memanfaatkan hantaran Akram Mahinan.
Ketua pasukan Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue meraikan jaringan selepas berjaya membolosi pasukan Tampines Rovers pada perlawanan Piala AFC bagi kumpulan H di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2022.

Josue terus meledak gol kedua di minit ke-22 hasil hantaran lintang cantik Irfan Zakaria yang tepat menuju dada tonggak import Brazil itu sebelum dia pantas melepaskan rembatan untuk menewaskan Muhammad Syazwan Buhari di depan gawang.

Tuah terus tidak menyebelahi tuan rumah apabila deretan peluang gagal disempurnakan sekaligus keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat. – MalaysiaGazette

Ketua pasukan Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue melepaskan sepakan sambil cuba dihalang dua pemain Tampines Rovers pada perlawanan Piala AFC bagi kumpulan H di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2022.