KUALA LUMPUR – Pulau Pinang, mengungguli prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2021 dengan peningkatan 6.8 peratus.

Jabatan Perangkaan berkata, lima negeri merekodkan KDNK melepasi pencapaian di peringkat nasional.

Empat negeri lain ialah Selangor dengan peningkatan 5.0 peratus, Terengganu 3.6 peratus, Perak 3.5 peratus, manakala Kedah berkembang sebanyak 3.2 peratus.

Peneraju pertumbuhan utama bagi Selangor, Pulau Pinang dan Kedah adalah sektor pembuatan yang meningkat masing-masing 13.1 peratus, 12.4 peratus dan 6.2 peratus, disokong oleh kepesatan dalam industri yang berteraskan eksport iaitu produk elektrik, elektronik dan optikal.

Bagi Perak, sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan sebanyak 9.2 peratus dipacu oleh pengembangan dalam kedua-dua produk iaitu produk elektrik, elektronik dan optikal serta sarung tangan getah yang terus mendapat permintaan.

Sektor Perkhidmatan Perak juga memulih kepada 2.4 peratus (2020: -4.0%) didorong oleh peningkatan dalam subsektor utiliti, pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi (4.3%).

Prestasi melebihi aras nasional bagi Terengganu pula disumbangkan oleh sektor pembuatan yang melantun semula pada kadar 9.5 peratus (2020: -9.4%) berikutan peningkatan ketara melibatkan produk kimia & bahan kimia.

“Johor yang merupakan salah satu negeri penyumbang utama kepada KDNK nasional mencatatkan RM131.1 bilion dan kadar pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus.

”Subsektor utiliti, pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi menjadi pemangkin utama pertumbuhan ini dengan peningkatan sebanyak 6.7 peratus. Sektor pembuatan juga memulih dengan prestasi 5.5 peratus dipacu oleh produk elektrik, elektronik & optikal dan produk kimia & bahan kimia,” kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurut beliau, pembukaan semula semua sektor ekonomi serta sempadan negara telah meningkatkan permintaan bahan api diperingkat global, memberikan kelebihan kepada sektor pembuatan bagi negeri yang berorientasikan produk petroleum bertapis.

Senario ini dapat dililihat melalui prestasi KDNK Sarawak, Negeri Sembilan dan Melaka yang masing-masing bertumbuh 2.9 peratus, 3.0 peratus dan 2.0 peratus.

Sektor pembuatan Sarawak memulih kepada 11.2 peratus berbanding kemerosotan 8.6 peratus pada tahun 2020, dipacu oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Pengukuhan dalam produk yang sama turut mempengaruhi prestasi sektor pembuatan Negeri Sembilan yang mengukuh pada kadar 7.2 peratus.

Bagi Melaka, di sebalik peningkatan produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 6.7 peratus, segmen kenderaan bermotor dan peralatan pengangkutan menyusut 1.2 peratus berikutan kekurangan bekalan cip semikonduktor dunia, menyebabkan sektor pembuatan berkembang lebih perlahan iaitu 3.3 peratus berbanding Sarawak dan Negeri Sembilan.

Pertumbuhan ekonomi Kelantan dan Perlis dipacu oleh sektor perkhidmatan, khasnya perkhidmatan kerajaan yang menyumbang hampir 40 peratus kepada sektor ini di kedua-dua negeri.

Perkhidmatan Kerajaan Negeri Kelantan meningkat 4.5 peratus, mendorong pertumbuhan KDNK Kelantan mencapai 2.4 peratus manakala Perlis meningkat lebih tinggi iaitu 4.8 peratus berbanding 4.2 peratus pada tahun 2020.

Namun begitu, Perlis menunjukkan prestasi yang lebih perlahan iaitu 1.5 peratus disebabkan oleh penyusutan sebanyak 6.0 peratus dalam sektor ertanian, disebabkan oleh kejatuhan dalam aktiviti perikanan laut.

Sementara itu, ekonomi Sabah meningkat sederhana 1.1 peratus, dipengaruhi oleh kejatuhan dalam sektor pembuatan dan pertanian yang berteraskan aktiviti huluan dan hiliran kelapa sawit ekoran penyusutan dalam pengeluaran komoditi ini.

Bagi sektor Pembuatan, penyusutan adalah sebanyak 1.8 peratus disebabkan oleh kemerosotan dalam aktiviti pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan.

Sektor pertanian juga menyusut 2.4 peratus disebabkan penurunan dalam pengeluaran kelapa sawit dan aktiviti akuakultur.

Walau bagaimanapun, pemulihan dalam sektor perkhidmatan dan perlombongan & pengkuarian telah mengimbangi keseluruhan KDNK Sabah.

Kebergantungan yang tinggi terhadap industri berasaskan pelancongan telah menyederhanakan pemulihan ekonomi Kuala Lumpur dan Pahang apabila masing-masing mencatatkan pertumbuhan marginal 0.8 peratus dan 0.9 peratus.

Walau bagaimanapun, prestasi industri pelancongan kedua-dua negeri ini dijangka bertambah baik pada 2022 selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan bermula 1 Oktober 2021, selain pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April 2022 yang akan merancakkan kembali kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa.

Labuan juga bertumbuh perlahan 0.5 peratus kesan dari aktiviti kewangan dan insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang memperlahan 1.5 peratus berbanding 3.0 peratus pada tahun sebelumnya.

Beralih kepada prestasi KDNK per kapita, kesemua tiga belas negeri dan dua Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan dalam nilai KDNK per kapita berbanding tahun 2020.

Tujuh negeri mencatatkan nilai KDNK per kapita melebihi paras nasional (RM47,324) iaitu Kuala Lumpur (RM124,232), Labuan (RM78,032), Pulau Pinang (RM58,527), Sarawak (RM57,635), Selangor (RM55,568), Melaka (RM47,799)
dan Negeri Sembilan (RM47,452). – MalaysiaGazette