Keadaan Stadium yang rosak dan lama tidak diselenggara berikutan akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil yang akan mengurangkan kapasiti 30,000 hing­ga 40,000 penonton ketika di Stadium Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2022.

SHAH ALAM – Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Shah Alam merayu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar menarik balik keputusan kerajaan negeri untuk merobohkan Stadium Shah Alam.

Pengerusinya, Datuk Azhari Shaari berkata, fasiliti sukan bukan sahaja sangat bermakna kepada rakyat Selangor, bahkan bukti janji Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mahu pentadbiran lengkap di negeri ini.

“Almarhum ayahanda Tuanku sendiri nak melihat kita mempunyai sebuah stadium bertaraf antarabangsa dan terkenal di Asia Tenggara, malah ramai pemain antarabangsa bermain di stadium ini.

“Saya merayu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin dapat agar ia dapat dipertahankan dan keputusan Kerajaan Negeri ini dapat ditarik balik,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.

Azhari Shaari

Semalam, media melaporkan bangunan ikonik di Seksyen 13, di sini yang pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara didakwa akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil.

Pembinaan stadium baharu itu dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam yang boleh memuatkan sehingga 80,300 orang pada satu-satu masa.

Azhari yang juga Ketua UMNO Bahagian Shah Alam mempersoalkan cadangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu sedangkan pintu gerbang Kota Darul Ehsan di Petaling Jaya boleh dipelihara dan dipulihara kerana nilai sejarahnya.

Stadium Shah Alam yang kelihatan uzur ini bakal dirobohkan. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2022.

“Sepatutnya Stadium Shah Alam dipertahankan kerana sangat dekat dengan sejarah penubuhan Bandaraya Shah Alam itu sendiri yang dicetuskan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Banyak memori indah serta kejayaan terlakar di Stadium Shah Alam dan hanya anak jati Selangor yang dapat rasakan kesedihan dan kebimbangan sebaik sahaja berita ia hendak dirobohkan tersebar.

“Orang luar Selangor mungkin tidak mempunyai perasaan begitu, tetapi anak jati Selangor yang melihat sendiri stadium ini dirancang, dibina dan dirasmikan oleh Almarhum Sultan Salahuddin akan merasakan kesedihan jika benar ia akan lenyap dari pandangan.

“Pembangunan pesat di sekitar Stadium Shah Alam termasuk penjaja kecil dan pasar malam seharusnya menjadi kelebihan untuk stadium berkenaan hidup,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast