Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Apabila kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bermakna Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak lagi berkesan.

Kewujudan MPN sudah tidak perlu dan bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah-masalah rakyat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, sebenarnya, kewujudan MPN dari awalnya lagi tidak membuahkan hasil dan ia hanya berfungsi sebagai penasihat kepada kerajaan sahaja.

Bahkan, fungsi ini sebenarnya boleh dan sedang dilakukan oleh badan-badan pemikir berkaliber seperti contohnya Khazanah Research Institute (KRI) dan badan-badan pemikir lain yang selama ini telah lama bergiat aktif dalam memberi nasihat serta syor kepada kerajaan.

Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata, MPN hanyalah satu platform untuk memberikan Muhyiddin peluang menaikkan imej diri sendiri serta partinya.

Dan, MPN tidak semestinya bersuara bagi pihak rakyat dan kepentingan negara.

”MPN sudah gagal. Sudah tiba masanya kerajaan membubarkan sahaja majlis ini dan memberikan kelapangan kepada kementerian-kementerian dan menteri-menteri daripada melayan dan menghadiri mesyuarat majlis yang tidak berkesan ini,” katanya sambil menasihati Muhyiddin untuk menggunakan platform lain untuk menyumbang idea dan saranan sebagai bekas Perdana Menteri.

Platform itu boleh menerusi Yayasan Kemimpinan Perdana bersama-sama dengan Tun Dr. Mahathir Mahathir.

”Itu lebih elok,” ujar beliau. – MalaysiaGazette