Sebahagian daripada 97 PATI yang ditahan di kawasan rumah kongsi di tapak pembinaan di Jasin awal pagi tadi.

MELAKA – Seramai 106 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar negeri ini awal pagi tadi.

Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, turut dicekup dalam serbuan bermula pukul 11 malam menerusi Op Gegar itu adalah sembilan wanita warga asing berusia antara 22 tahun hingga 37 tahun kerana disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Menurutnya, kesemua mereka disyaki disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen (AI) 1959/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963.

“Tujuh daripada mereka adalah wanita warga Vietnam yang disyaki melakukan kesalahan Seksyen 6(1)(c) AI 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Sementara itu, dua wanita iaitu warga Thailand pula melanggar Peraturan 39(b) Peraturan – Peraturan akta sama kerana salah guna pas dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Anirwan Fauzee Mohd Aini

Anirwan Fauzee berkata, dalam Op Sapu itu, sepasukan 67 pegawai dan anggota penguat kuasa JIM turut menyerbu dan memeriksa 225 warga asing di sebuah kawasan rumah kongsi di tapak pembinaan di Jasin.

“Daripada jumlah diperiksa, kita menahan 97 PATI terdiri daripada 93 lelaki dan empat wanita kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut AI 1959/63.

“Mengikut pecahan, 62 adalah lelaki warga Bangladesh, dan 35 rakyat Indonesia melibatkan 31 lelaki dan empat wanita,” katanya.

Jelas beliau, daripada 97 PATI, seramai 81 disyaki melakukan kesalahan Seksyen 6(1)(c) AI 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, manakala 16 lagi ditangkap mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

Tambahya, semua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Melaka di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh untuk siasatan lanjut selepas operasi berakhir jam 4 pagi tadi.- MalaysiaGazette