PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang ‘mat despatch’ kerana  menumbuk bapanya berkali-kali sehingga mengakibatkan kecederaan di dahi dan kelopak mata.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian tersebut berlaku di Kampung Indah Permai, Ampang pada Khamis lalu jam 10.30 malam.

Jelasnya, kejadian itu berlaku apabila dua beranak berkenaan bertengkar setelah bapa suspek, 63 ,mengesyakinya terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Dalam pertengkaran berkenaan, suspek bertindak menumbuk kepala mangsa berulang kali menggunakan tangan. Mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian dahi sebelah kiri dan bahagian kiri kelopak mata.

“Suspek juga mengugut akan terus mencederakan mangsa sekiranya menghubungi pihak polis,” katanya menerusi kenyataan.

Mohamad Farouk berkata, suspek yang berusia 33 tahun itu berjaya ditangkap dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis Meth.

Dalam masa yang sama, Mohamad Farouk mengesahkan suspek mempunyai tiga rekod lampau dan kini direman selama empat hari sehingga 4 Julai ini.

Kes disiasat di bawah seksyen 323/506K Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan membuat ugutan sehingga mendatangkan ketakutan, ujarnya.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua- duanya sekali. – MalaysiaGazette