bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka bergerak pada trend penurunan minggu depan, merosot kepada 1,430 mata daripada 1,450 mata pada masa ini berikutan kebanyakan saham masih bergelut untuk mencari hala tuju yang akan datang manakala peniaga menilai semula prospek ekonomi yang kurang menggalakkan dengan kenaikan kadar faedah yang agresif dan inflasi global yang tinggi.

Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Nazri Khan Adam Khan berkata, ini berikutan petunjuk baharu kebimbangan mengenai pertumbuhan global, potensi kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU), inflasi yang tinggi dan kenyataan Rizab Persekutuan (Fed) AS yang menyokong kadar faedah tinggi.

“Ini akan mempercepatkan momentum penurunan dan dijangka menyebabkan tempoh inflasi tinggi lebih lama daripada jangkaan.

“Selain itu, sentimen pasaran turut didominasi oleh jangkaan bahawa dasar monetari mudah bank pusat global untuk menyokong pertumbuhan ekonomi telah tiada.

“Ini bermakna bank-bank global tidak mempunyai kuasa lagi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, walaupun menghadapi cabaran, pembukaan semula sektor ekonomi dan kelonggaran lebih banyak sekatan berkaitan COVID-19 di China dapat mengurangkan impak negatif dalam menyokong pasaran saham tempatan, berdasarkan China adalah rakan dagang utama Malaysia, kata Nazri Khan.

“Satu lagi perkembangan yang menggalakkan ialah Bursa Malaysia terus berdaya tahan berikutan ia mengatasi prestasi pasaran dunia yang lain.

“Dalam tempoh satu tahun, kami (FBM KLCI) hanya merosot sebanyak -2 peratus berbanding pasaran saham AS, yang jatuh sebanyak 33 peratus,” katanya.

Ini turut disokong oleh usaha kerajaan yang berterusan untuk memastikan bank mempunyai permodalan yang baik dan kukuh serta usaha untuk menggalakkan ekonomi digital dan hijau.

Selain itu, minyak mentah Brent yang kukuh turut memberi prospek yang baik kepada pasaran saham tempatan berikutan kira-kira 30 peratus daripada saham di Bursa Malaysia berkaitan komoditi.

Sementara itu, Nazri Khan berkata kebanyakan pemain institusi akan menunggu musim pelaporan pendapatan korporat yang akan datang untuk melihat sama ada inflasi, sentimen pengguna dan dasar kadar faedah akan mempengaruhi keuntungan syarikat sebelum memasuki pasaran ekuiti.

“Dalam erti kata lain, mereka menunggu buat masa ini untuk menilai situasi dan impak daripada pendapatan pada bulan Ogos,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, bursa tempatan kebanyakannya diniagakan bercampur-campur berikutan minat belian dalam saham mewah terpilih, selain turut menjejaki prestasi di Wall Street yang kebanyakannya rendah berikutan kebimbangan mengenai inflasi global dan pertumbuhan ekonomi.

Pada Jumaat, FBM KLCI naik 0.38 peratus atau 5.52 mata untuk ditutup kepada 1,449.74 daripada 1,444.22 pada Khamis.

Pada asas mingguan, indeks petunjuk pasaran meningkat 13.04 mata daripada 1,436.70 pada akhir minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBMT100 menambah 61.53 mata kepada 10,059.71, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 66.34 mata kepada 10,480.98, Indeks FBM Emas naik 58.49 mata kepada 10,315.88, FBM ACE menokok 14.63 mata kepada 4,784.52, bagaimanapun FBM 70 merosot 40.16 mata kepada 12,403.54.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 6.99 mata kepada 6,924.72, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.59 mata kepada 181.69 dan Indeks Tenaga menambah 6.99 mata kepada 684.48.

Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 92.36 mata kepada 16,056.81, Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 8.75 mata kepada 1,640.99 dan Indeks Teknologi susut 0.71 mata kepada 61.91.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 11.09 bilion unit bernilai RM7.95 bilion daripada 12.96 bilion unit bernilai RM8.49 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 7.15 bilion saham bernilai RM6.92 bilion daripada 7.81 bilion saham bernilai RM7.07 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran susut kepada 2.14 bilion unit bernilai RM444.94 juta daripada 2.41 bilion unit bernilai RM1.41 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.77 bilion saham bernilai RM589.15 juta daripada 2.73 bilion saham bernilai RM907.96 juta pada minggu sebelumnya. – BERNAMA