Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kali ke 42 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan wujudnya kem di dalam parti itu ketika ini.

Sebaliknya, beliau yang juga Perdana Menteri menegaskan hanya terdapat satu kem di dalam UMNO.

“Kem (dalam UMNO)? Mana ada kem. Hanya satu kem dalam UMNO,” katanya ringkas selepas merasmikan Persidang Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Universiti Malaya di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan terdapat dua kem di dalam UMNO iaitu puak yang menyokong dirinya sebagai perdana menteri dan satu lagi kem yang memihak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dakwaan itu susulan pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman baru-baru ini mengenai isu dalaman UMNO bagi membuktikan parti itu kini berpecah.

Ditanya perkembanganan terkini pindaan perlembagaan UMNO, Ismail Sabri memberitahu, parti itu masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Belum dapat lagi kerana dalam masa 60 hari sehingga 16 Julai ini. Masih tunggu lagi,” katanya.

Pada 15 Mei lalu, UMNO memohon pindaan dalam perlembagaannya semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas. pindaan perlembagaan UMNO bagi memasukkan penangguhan pemilihan parti selama enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU). – MalaysiaGazette