Keadaan Stadium yang rosak dan lama tidak diselenggara berikutan akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil yang akan mengurangkan kapasiti 30,000 hing­ga 40,000 penonton ketika di Stadium Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2022.

KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menafikan adanya cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, pihaknya akan menjelaskan secara terperinci mengenai cadangan pembangunan terbaharu stadium tersebut pada 16 Julai ini.

“Ia (meruntuhkan stadium) merupakan satu pilihan sejak dari awal lagi… Kita akan jelaskan kemungkinan pada 16 Julai bersempena hari pembukaan Stadium Shah Alam, sekarang masih pramatang tidak elok untuk saya huraikan sebab ia melibatkan perbincangan dengan banyak pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, stadium itu mempunyai pelbagai masalah antaranya bumbung, sistem perpaipan dan padang.

“Sebenarnya pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beri status kurang selamat (kepada Stadium Shah Alam) kerana bumbung stadium yang terbang… Jadi kita bincang dengan FAM bagaimana nak buat, jika kita baiki dengan segera, kita hanya betulkan bumbung tetapi yang lain akan kekal masalah. Kita tidak mahu ia seperti itu,” katanya.

Amirudin berkata, cadangan pembangunan stadium itu akan mengambil masa sekurang-kurang dua tahun selain dijangka siap seiring dengan pembinaan Aliran Transit Ringan (LRT) 3 dijajaran berdekatan.

“Sudah pasti kita tidak mahu ketinggalan dari sudut teknologi, kalau kita mahu buat, kita buat bagi sempurna selain, cadangan pembangunan ini  telah dinilai oleh kumpulan profesional secara teknikal,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast