Datuk Nik Zawawi Salleh. foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada pengguna di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu menegaskan bahawa perkara itu adalah fitnah dan tidak benar.

“Isu yang mengatakan saya memandang remeh terhadap kenaikan harga barang ada satu fitnah yang sangat besar dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh mana-mana pihak di kalangan pemimpin.

“Apa yang saya bagitahu ialah, kerajaan memandang serius terhadap kenaikan harga barang di Negara kita dan di dunia secara umumnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Muhammad Zawawi sebelum ini dilapor menyifatkan kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada pengguna di negara ini.

Beliau berkata, situasi rakyat negara ini lebih baik, berbanding rakyat di negara lain yang dikatakan lebih teruk.

“Oleh demikian, kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada mereka (pengguna). Berbanding dengan rakyat dari negara lain, mereka di sana lebih teruk keadaannya daripada kita.

“Dalam kes kita, kerajaan kita masih mempunyai keupayaan untuk membantu rakyat dan kita akan terus mencari jalan untuk membantu rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya seperti dilaporkan media.

Nik Muhammad Zawawi turut dilaporkan berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di rantau ini yang memperuntukkan sejumlah besar wang untuk memberi subsidi bagi membantu rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah pantas mengambil tindakan sewajarnya dengan memberikan kepada rakyat B40 bantuan-bantuan khas dan sekali gus akan mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan tersebut.

“Maka dengan adanya bantuan sebegini maka rakyat tidaklah menghadapi masalah besar dalam kehidupan mereka.

“Dengan ini saya menafikan apa yg difitnah oleh akhbar-akhbar tempatan hari ini,” katanya.

Awal hari ini, Pemuda UMNO menyindir Nik Muhammad Zawawi yang menyifatkan kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada pengguna di negara ini.

Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, kenyataan yang dibuat itu bermakna beliau ‘sudah mati rasa.’ – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast