Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntukkan RM150 juta bagi menangani masalah bekalan air di Temerloh melibatkan kawasan Lanchang, Kuala Semantan, Mentakab, Kuala Krau dan Jenderak.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejumlah RM68.1 juta pula diperuntuk bagi penyelesaian isu bekalan air di Bilut, Ketari dan Sabai.

“Saya telah berjanji untuk bersungguh-sungguh bagi menyelesaikan masalah bekalan air di setiap daerah di Pahang, ketika berucap dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tempoh hari.

“Sebagai langkah pencegahan, pihak PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad) juga akan secara berterusan mencari punca awal bagi mengelakkan timbul masalah bekalan air pada masa depan,” katanya menerusi laman rasmi Facebooknya hari ini.

Jelas Wan Rosdy, PAIP Daerah Temerloh serta Bentong kini memfokuskan langkah-langkah menambah baik segala permasalahan berkaitan bekalan air di dua daerah tersebut.

Beliau berharap segala isu dan permasalahan berkaitan bekalan air di negeri ini dapat diselesaikan dengan segera demi manfaat rakyat Pahang. – MalaysiaGazette