Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berucap ketika hadir ke Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Taman Penggawa, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2022.

KUALA SELANGOR – Seorang penganggur yang disyaki menekup kekasihnya dengan bantal sehingga mati di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang dekat sini akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sudah menerima arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi pertuduhan ke atas lelaki berusia 24 tahun itu.

“Lelaki yang sudah ditahan polis itu masih ditempatkan di lokap IPD (Ibupejabat Polis Daerah) Klang.

“Kita sudah mendapat arahan TPR dan pendakwaan ke atas suspek berkenaan akan dilakukan di Mahkamah Klang pada 4 Julai,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Kontinjen Selangor di Taman Penggawa dekat sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan hubungan cinta pelajar perempuan yang terjalin dengan seorang penganggur berakhir dengan penuh tragedi apabila mangsa mati ditekup menggunakan bantal oleh kekasih sendiri dalam kejadian pada 26 Jun lalu.

Kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 2 pagi selepas mangsa berusia 16 tahun dibawa lelaki berusia 24 tahun itu ke rumahnya dengan menaiki kereta Perodua Myvi.

Pembunuhan itu terbongkar apabila suspek mengetuk pintu bilik tidur ibu bapanya selepas mengangkat mangsa yang dibunuh itu dari biliknya ke halaman rumah.

Tambah Arjunaidi, motif sebenar suspek membunuh mangsa masih lagi dalam siasatan polis.

“Kita masih menyiasat dan tidak boleh mendedahkan motif itu kerana ia akan melibatkan kes di mahkamah nanti,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong menerusi kenyataan memaklumkan siasatan awal dalam kes berkenaan mendapati mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya selepas ibu bapa mereka bercerai.

Suspek dan mangsa dipercayai telah bercinta selama setahun dan hubungan cinta pasangan berkenaan diketahui oleh keluarga masing-masing.

“Berdasarkan siasatan awal polis, berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa di dalam bilik tidur dan lelaki itu juga sebelum ini pernah beberapa kali membawa mangsa ke rumahnya,” tegasnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pelajar tingkatan empat disyaki ditekup bantal hingga mati oleh kekasih

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast