KUALA LUMPUR – Senjata makan tuan!
Itu yang berlaku kepada seorang penyamun yang mahu menetak seorang lelaki warga asing menggunakan sabit panjang namun terkan paha sendiri di Taman Perindustrian Kepong dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komissioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mendapati lelaki berkenaan tertiarap atas jalan dalam keadaan belumuran darah di tempat kejadian.
“Siasatan di tempat kejadian oleh polis mendapati polis menemui seorang lelaki warga asing iaitu suspek berusia 50 tahun tertiarap di atas jalan dan terdapat sebilah sabit panjang dalam genggaman tangan kanannya.
“Sementara itu mangsa juga seorang warga asing berusia 48 tahun yang parah ditetak dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.
“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan polis mendapati suspek telah datang ke premis dan berbual dengan mangsa namun tiba-tiba suspek terus menyerang beberapa kali menetak mangsa dengan menggunakan sabit panjang dengan niat samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zainal Mohamed, mangsa ketika itu telah mengambil sebuah kerusi plastik dan cuba mempertahankan diri daripada terus dicederakan oleh suspek.
Menurutnya, ketika itu, senjata yang digunakan suspek menetak mangsa telah terkena pada bahagian paha kirinya sendiri.
“Suspek terus berlari ke arah luar premis dan terus rebah atas jalan pada jarak lebih kurang 36 meter dari lokasi kejadian. Suspek itu kemudiannya telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan hospital di tempat kejadian.
“Sementara mangsa berumur 48 tahun yang turut mengalami kecederaan parah akibat ditetak oleh suspek telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan malangnya turut disahkan meninggal dunia,” katanya.
Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah disyaki cubaan samun sehingga menyebabkan kematian.
Zainal Mohamed menambah, kes berkenaan sedang disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kes berkenaan kini dianggap selesai memandangkan mangsa dan suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan sudah meninggal dunia,” ujarnya.-MalaysiaGazette