Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyarankan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta memperuntukkan dana untuk menaja pelajar di seluruh negara menonton filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, daripada membayar elaun berkali ganda kepada pengurusan syarikat, baik wang itu digunakan untuk perkara bermanfaat.

“Elok sangat kerajaan melalui GLC, syarikat swasta seperti Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Felda FGV dan banyak lagi taja pelajar dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan 5 menonton filem ini.

“Tidak berapa sen pun, tidak banyak sangat pun keluar duit belanja untuk tujuan ini, malah ia dapat mengukuhkan lagi jati diri anak bangsa kepada negara.

“Kerajaan sendiri pun boleh menaja melalui Kementerian Pendidikan. Buat sebagaimana tahun 60-an dan 70-an dahulu, murid dan pelajar ditaja tonton filem yang memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menonton tayangan amal Mat Kilau tajaan Pergerakan Wira dan Wirawati Putra di Melawati Mall, dekat sini semalam.

Menurut Ibrahim, tayangan amal itu mendapat sambutan luar biasa dengan dua panggung yang dikhaskan untuk filem itu penuh.

Beliau mengucapkan syabas kepada dua sayap Putra itu dan berharap GLC serta syarikat swasta menjadikannya sebagai contoh untuk menaja tayangan filem itu kepada pelajar.

Mengulas mengenai filem itu, katanya, beliau telah menontonnya sebanyak dua kali sejak ia ditayangkan kepada umum.

“Saya tengok kali kedua, seriau bulu roma tengok betapa hebatnya Mat Kilau mempertahankan tanah air kita dari dizalimi penjajah.

“Syabas kepada penulis, penerbit, pengarah dan barisan pelakon. Ini filem terbitan orang Melayu yang terbaik pernah saya tengok,” katanya.

Beliau berkata, filem Mat Kilau itu sudah pasti menyuntik semangat patriotisme dan nasionalisme di kalangan orang Melayu yang sudah mula luntur dan tidak tahu sejarah.

Katanya, dengan menonton filem itu, beliau percaya dapat mengembalikan semula semangat jati diri Melayu dan memastikan bumi Malaysia ini tidak akan dipijak oleh orang lain.

“Malaysia asalnya Persekutuan Tanah Melayu dan juga diperjuangkan oleh Mat Kilau dan para pahlawan Melayu zaman silam.

“Dengan tajaan daripada GLC dan starikat swasta, boleh membantu pelajar dan anak muda yang tidak pernah tahu sejarah ini, akan tahu bagaimana pahit maung perjuangan pahlawan Melayu zaman silam mempertahankan bumi dan tanah air ini,” katanya. – MalaysiaGazette