Aktiviti hiburan tidak sah menggunakan lesen restoran makanan secara berselindung terbongkar selepas diserbu polis pada Ahad lalu.- Gambar ihsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Satu aktiviti hiburan yang dijalankan secara haram dan berselindung di sebalik perniagaan restoran di Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini terbongkar.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, sisi gelap restoran itu terbongkar apabila diserbu diserbu pukul 6.30 petang semalam.

“Hasil serbuan, polis berjaya menahan tiga pekerja premis itu yang terdiri daripada dua lelaki serta seorang wanita warga asing berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun.

“Semasa serbuan dibuat, seramai 18 pengunjung sedang berhibur di dalam premis itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Delhan, pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen hiburanĀ  dan disyaki menjalankan aktiviti hiburan secara haram.

Menurut beliau, polis berjaya merampas peralatan eletrik berupa televisyen, peralatan audio, salinan lesen perniagaan serta wang tunai yang digunakan untuk aktiviti hiburan.

“Semakan juga mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen hiburan sah lebih sebulan lalu dan hanya beroperasi secara berselindung menggunakan lesen restoran serta kedai makan.

“Siasatan lanjut turut mendedahkan hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk untuk berhibur sebagai taktik mengelak kegiatan haram itu dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 serta Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette