Salah sebuah penumpang tanpa lesen yang dirampas APMM Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APPM) negeri Pulau Pinang menahan dua bot penumpang tanpa lesen yang membawa pelancong di perairan Teluk Bahang, di sini, semalam.

Bot terbabit ditahan pada kedudukan 0.2 batu nautika barat laut dan 0.54 batu nautika utara Teluk Bahang, sekitar jam 3 hingga 3.30 petang.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, kedua-dua bot itu didapati dikendalikan dua kru warga tempatan berusia 68 dan 48 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot terbabit tidak mempunyai lesen sah selain insurannya sudah tamat tempoh.

Pemilik kedua-dua bot tersebut turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua bot itu ditahan semasa sedang membawa pelancong di perairan Teluk Bahang.

“Bot serta kru yang ditahan diserah kepada pegawai penyiasat APMM bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan insuran tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Nak Rong menasihati pengusaha bot yang membawa penumpang atau pelancong di laut untuk mematuhi undang-undang serta peraturan yang dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Orang ramai serta komuniti maritim diseru supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

“Sebarang aduan, maklumat atau kecemasan di laut, boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04 262 6146,” ujar beliau. – MalaysiaGazette