HARGA minyak masak dalam botol naik, telur naik, ayam naik, pening kepala mikir pasal kenaikan barang keperluan ini. Macam-macam usaha dilakukan oleh kerajaan untuk pastikan rakyatnya dapat beli minyak masak, dapat makan telur dan ratah ayam.
Tetapi, setakat hari ini, nampaknya masih pro dan kontra dengan harganya. Namun, ianya tetap membebankan rakyat terutama B40 dan M40.
Paling terkesan dengan kenaikan harga ini ialah suami isteri yang salah seorang dari mereka adalah suri rumah. Maknanya, dalam keluarga itu hanya seorang yang berpendapatan.
Bayangkan, dengan satu pendapatan – kalau gajinya sekitar RM1,200 sebulan – macam mana mereka nak hidup? Nak bayar sewa rumah lagi, sewa motosikal atau kereta, bil letrik dan air, bil internet dan bil pembetungan bagi yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor.
Di situ sudah dekat RM1,000 habis begitu saja dan dengan baki sekitar RM200 itulah nak digunakan untuk belanja anak sekolah, belanja barang dapur, minyak motor atau kereta.
Bagaimana agaknya mereka jalani kehidupan? Adakah untuk sampai ke tarikh gaji berikutnya mereka terpaksa berhutang dengan kawan dengan jiran? Adakah mereka terpaksa bergolok bergadai barang kemas atau apa saja yang asalkan boleh jadi duit?
Kalau itu berlaku, bagaimana mereka nak jelaskan hutang kalau penggunaan wajib setiap bulan pun sudah cecah RM1,000?
Namun, mujurlah setakat ini belum ada lagi berita ada keluarga mati kerana kelaparan, meninggal dunia kerana kehabisan bekalan makanan dan sebagainya.
Rakyat Malaysia masih hidup aman dan harmoni walaupun kehidupan mereka seharian dibelenggu dengan kos sara hidup yang tinggi.
Di pihak kerajaan pula, bermacam usaha dilakukan untuk pastikan rakyatnya tidak terbeban dengan kenaikan harga barang.
Ada barangan tertentu kerajaan kenakan subsidi, ada produk tertentu kerajaan tarik subsidi. Malah, kerajaan bantu lagi rakyatnya dengan bantuan RM100 kepada yang berkeluarga dan RM50 untuk si bujang.
Walaupun bantuan itu nampak kecil atau sedikit, tapi kita sebagai rakyat harus bersyukur kerana bantuan itu diberikan sama rata kepada semua yang senasib dengan kita, yang jumlahnya jutaan orang.
Kerana dibahagi sama ratalah menjadikan jumlah setiap daripada kita terima agak kecil, tetapi jika pandai mengurus walau dalam sekelip mata sudah habis, sekurang-kurangnya dengan RM100 itu, bekalan makanan yang dibeli sebagai stok itu boleh bertahan antara 15 hari hingga sebulan.
Itu jika kita gunakan dengan berhemah, betul-betul beli barang yang amat diperlukan, tetapi kalau dapat RM100 beli rokok, belanja kawan-kawan lepak di kedai mamak, bagi RM1,000 pun tak cukup.
Sebagai pengamal media, yang terlibat secara langsung dalam sebarang aktiviti kerajaan, kementerian, jabatan dan agensi, boleh dikatakan pihak berkenaan ini tidak menang tangan turun padang.
Mereka, siang dan malam mengatur jadual, menyusun gerakan untuk memantau dan mengambil tindakan ke atas pihak yang ambil kesempatan menaikkan apa saja harga barang keperluan.
Itu yang mereka lakukan saban hari dan kami orang media tidak dapat nafikan kesungguhan mereka bekerja semata-mata memastikan tidak berlaku sebagai apa yang dikatakan, ‘kesempatan pengeluar, pengedar, pembekal dan peniaga untuk menyusahkan orang ramai’.
Memang benar, kita dihidangkan dengan alasan yang ‘agak bodoh’ oleh pihak berkuasa, apatah lagi jawapan itu keluar dari mulut menteri atau timbalannya.
Kita selalu dengar, “jika ayam mahal, jangan makan ayam”, “jika telur mahal, kurangkan makan telur”, “jika minyak masak mahal, kurangkan menggoreng”, jika petrol mahal, kurangkan bergerak di jalan raya, lebuh raya dengan kenderaan” dan macam-macam ‘jika’ serta ‘jangan’ lagi yang kita dengar.
Semua alasan itu dijadikan bahan ketawa oleh rakyat hingga ada yang menjawab, “kamu menteri apa kamu tahu? Semua kos ditanggung kerajaan, sesen duit poket pun tak pernah keluar”, “kami rakyat marhaen ni, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.
Sebenarnya, kalau tidak menteri atau timbalannya berkata demikian, kita sebagai rakyat yang dianugerahkan akal, harus bijak membuat keputusan, terutama dalam keadaan terdesak seperti ini.
Terpulang pada diri sendiri. Kalau kita berfikiran negatif dengan keadaan ini, maka negatiflah hidup kita. Kalau kita berfikiran positif, maka positiflah hidup kita.
Cuba kita ambil yang positif, seperti kata menteri “jangan makan ayam”, “kurangkan makan telur”. Jika kita ikut arahan ini, ia tidak akan memendekkan usia kita, malah menyelamatkan ekonomi kita.
Tak boleh makan ayam, cuba tukar kepada lauk yang lebih murah iaitu ikan kering, sardin, ikan Selayang, selar kuning dan sebagainya. Jangan beli perkilo, beli lima enam ekor untuk makan satu keluarga saja.
Ini juga yang kita lakukan jika kita beli ayam dan telur. Seekor ayam mulai 1 Julai lalu RM9.40 sekilogram, jarang seekor ayam beratnya kurang sekilogram, biasanya lebih satu kilogram dan harganya sekitar RM15 seekor.
Seekor ayam ini jika dimasak, habis dimakan sehari juga, dan daripada RM15 untuk ayam ini, jika kita beli ikan yang harga sekitar RM7 atau RM10 dah dapat lebih lima ekor. Ikan ini pun kalau dimasak, habis sama satu hari juga, tapi sekurang-kurangnya jimat antara RM5 hingga RM8.
Bukan kata penulis nak ajar tuan-tuan dan puan-puan, tetapi itulah yang dimaksudkan oleh pihak kerajaan. Kita sebagai orang yang panjang akal, cubalah gunakan untuk menterjemahkan maksud itu.
Kalau semua faham dan amalkan, nescaya tak sampai sebulan pengeluar ayam, telur ayam dan minyak masak akan gulung tikar sebab produk mereka tidak laku, tidak mendapat sambutan di pasaran.
Bila begitu, produk mereka akan menjadi lambakan, rosak dan mereka tanggung kerugian yang besar hingga akhirnya mereka perit nak naikkan harga sewenang-wenangnya semata-mata fikirkan keuntungan.
Biar mereka fikir rakyat lebih cerdik dari mereka dan lepas ini kalau mereka nak naikkan harga, mereka akan fikir dua tiga kali sebab rakyat sudah cerdik dan pandai membuat keputusan. Lalu mereka tidak akan ulangi lagi.
Kuasa membeli ada pada kita, sebagaimana kuasa mengundi yang menjadi hak kita. Kalau kita boleh pilih siapa calon yang kita fikir sesuai, kenapa kita tidak pilih untuk tidak membeli produk yang dinaikkan harga sewenang-wenangnya?
Calon yang kita pilih itu kalah tak mengapa, kita boleh tumpang calon yang menang. Begitu juga dalam bab memilih barang keperluan ini. Tepuk dada tanya selera. – MalaysiaGazette