Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid mengingatkan semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sedang dibicarakan ketika ini.

Teguran dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah satu laporan polis dibuat terhadap peguam Syed Saddiq, Lim Wei Jit yang membuat pembelaan ketika sidang media pada 21 Jun lalu.

“Saya rasa perkara seperti ini telah berlaku di mahkamah lain dan kali ini ia berlaku di mahkamah saya. Saya mengingatkan semua orang, biarkan bukti yang berbicara,” tegas Azhar.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memohon mahkamah memberi teguran agar perkara itu tidak berulang.

“Saya tidak minta prosiding menghina mahkamah dikenakan tetapi mohon mahkamah memberikan teguran kerana kita sudah dewasa,” katanya.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq kemudiannya memohon maaf atas apa yang berlaku dan memaklumkan perkara itu tidak berulang.

Pada 24 Jun, laporan polis itu dibuat seorang pegawai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Jun membabitkan satu video yang dimuat naik di YouTube mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu bermotifkan politik.

Selain Haijan dan Wei Jiet, Syed Saddiq diwakili peguam, Gobind Deo dan Datuk S. Ambiga.

Beliau kini berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Armada Bersatu berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi.

Syed Saddiq, 29, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen bagaimanapun beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 25 November tahun lepas dan permohonan itu dibenarkan.

Pada 22 Julai 2021, bekas menteri  itu didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna wang manakala pada 5 Ogos tahun sama, beliau dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwaan kemudian memohon memindahkan kes di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – MalaysiaGazette