Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Pelancaran Malaysia Digital di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia Digital (MD) yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), merupakan kesinambungan Multimedia Super Corridor (MSC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia ditubuhkan demi merancakkan ekonomi digital negara dengan berpandukan tiga prinsip utama iaitu fleksibiliti, ketangkasan dan relevansi.

MD juga menggalak dan menarik syarikat, bakat serta pelaburan bagi membolehkan perniagaan dan rakyat memainkan peranan penting dalam ekonomi digital dunia.

Katanya, MD menerusi Projek Mangkin MD (PEMANGKIN) akan mentransformasi ekosistem ekonomi digital negara menerusi tiga keutamaan strategik.

“Pertama, membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat.

“Kedua, menyokong syarikat teknologi tempatan untuk menjadi ‘Juara Malaysia’ berjaya di peringkat antarabangsa dan ketiga adalah menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Malaysia Digital dan Sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Perdana Menteri yakin MD akan dapat memacu lebih banyak program berimpak tinggi secara langsung kepada rakyat.

Tambahnya, dua PEMANGKIN diperkenalkan di bawah MD iaitu program DE Rantau dan Digital Trade.

“Program DE Rantau bertujuan menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini melalui peningkatan penggunaan digital, mobiliti profesional digital dan aktiviti pelancongan di seluruh negara.

“Program Digital Trade pula berperanan untuk memacu e-Dagang dan adaptasi digital oleh perniagaan serta memudahkan perdagangan merentas sempadan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan (NESR).

“Digital Trade juga bertujuan menyokong pergerakan data yang lancar antara perniagaan untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kebolehpercayaan transaksi merentas sektor dan industri,” jelas Perdana Menteri.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kabinet bersetuju supaya K-KOMM menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Malaysia Digital (MD-CC)  untuk menyelaraskan tadbir urus dan operasinya, seperti penganugerahan Status MD.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan enam buah syarikat yang dianugerahkan Status MD pada hari ini.

Keenam-enam syarikat tersebut adalah Bytedance System Sdn. Bhd; Bridge Data Centres Malaysia (III) Sdn. Bhd; GDS IDC Services (Malaysia) Sdn. Bhd; Abbott Laboratories (Malaysia) Sdn. Bhd; Aceteam Connect Sdn. Bhd dan Peninsula Apex Technologies Sdn. Bhd.

Ujarnya, kerjasama dan muafakat pelbagai pihak, inisiatif MD diharap akan dapat dilaksanakan dengan jaya. – MalaysiaGazette