Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Trend aliran keluar oleh dana antarabangsa berterusan di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, apabila pelabur asing menjual sebanyak RM320.3 juta ekuiti Bursa Malaysia minggu lepas.

Jumlah itu lebih besar daripada RM61.5 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, pelabur asing adalah penjual bersih sepanjang minggu kecuali pada hari Selasa, apabila mereka bersih membeli ekuiti sebanyak RM17.2 juta.

Aliran keluar paling tinggi pada Khamis sebanyak RM196.3 juta.

Pelabur institusi tempatan menjadikan pembeli bersih minggu ini kepada RM182.7 juta selepas jualan bersih RM7.9 juta pada minggu sebelumnya.

Mereka adalah penjual bersih pada hari Isnin dan Selasa masing-masing sebanyak RM11.9 juta dan RM29.6 juta sebelum menjadikan pembeli bersih pada hari Rabu dan Khamis masing-masing pada RM69.7 juta dan RM167.4 juta.

Pelabur institusi kemudiannya menjadi penjual semula pada hari Jumaat pada kadar RM12.9 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur runcit mengekalkan pembelian bersih untuk minggu keempat dengan jumlah bersih RM137.5 juta.

Mereka adalah pembeli bersih setiap hari dalam seminggu, tertinggi pada hari Isnin berjumlah RM44.6 juta.

Menurutnya, sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 17 daripada 26 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.07 bilion.

Manakala pelabur institusi tempatan adalah penjual bersih selama 20 daripada 26 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM7.81 bilion.

Peruncit tempatan menjadi pembeli untuk 17 daripada 26 minggu pada tahun ini dengan jumlah RM1.74 bilion.

Dari segi sektor, produk dan perkhidmatan perindustrian, teknologi dan tenaga menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi oleh pelabur asing masing-masing berjumlah RM124.6 juta, RM83 juta dan RM60.1 juta.

Sektor utiliti menjadi minat pelabur asing dengan belian bersih RM19.6 juta.

Dari segi penyertaan, pertumbuhan purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak +10.14%.

Kedua-dua pelabur runcit dan pelabur institusi menyaksikan penurunan dalam ADTV untuk minggu ini, masing-masing sebanyak 7.56% dan 13.85%. – MalaysiaGazette