Gabriel Jesus menyertai the Gunners kendalian Mikel Arteta. Kredit Foto: Getty Images/Arsenal

LONDON – Arsenal melengkapkan pembelian penyerang antarabangsa Brazil Gabriel Jesus daripada Manchester City.

Bintang muda itu dibeli dengan yuran perpindahan bernilai £45 juta (RM240.7 juta).

Jesus, 25, merupakan pemain keempat direkrut oleh Pengurus the Gunners, Mikel Arteta ke Stadium Emirates kali ini selepas kehadiran Fabio Vieira, penjaga gol Matt Turner dan penyerang Brazil, Marquinhos.

Arteta teruja dengan kehadiran Jesus ke skuad kendaliannya.

Arteta yang pernah mengendalikan pemain berkenaan ketika menjadi penolong pengurus Man City kepada Pep Guardiola yakin kehadiran Jesus mampu pilihan di jentera serangan selepas Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang meninggalkan kelab itu secara percuma selepas kontrak mereka tamat.

“Saya kenal Gabriel Jesus secara peribadi dan juga dalam EPL posisi serangan dalam kelab tumpul kian lama tanpa pemain yang sesuai.

“Kali ini saya lega akhirnya dapat mengisi kekosongan itu dengan pemain terbaik ini (Gabriel Jesus),” kata Arteta.

Jesus dijangka menyarung jersi nombor sembilan bersama Gunners.

Ketika di Stadium Etihad selama lima musim, Jesus menjaringkan 95 gol dalam 236 penampilan bersama Man City selain menjulang empat gelaran EPL, tiga piala Liga dan sebuah Piala FA

Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City membenarkan Jesus menyertai Arsenal selepas kelab itu menandatangani bintang muda Norway Erling Haaland dari Borussia Dortmund dengan yuran bernilai £51.2 juta pada Jun lalu.

Menurut Jesus, dia telah berbincang dengan Arteta mengenai Arsenal, pemain pasukan, projek pembangunan masa depan dan sebagainya sebelum bersetuju menyertai kelab itu.

“Saya percaya 100 peratus dengan Mikel kerana saya pernah beraksi di bawah bimbingannya di Etihad yang membuktikan beliau adalah jurulatih berkualiti dan terbaik,” tegasnya. – BBC Sports.