Pemandu Proton Wira seorang lelaki warga emas tempatan maut selepas kenderaannya bertembung dengan kereta Honda City di Lebuhraya Persekutuan menghala Klang dalam kejadian awal pagi tadi.Ihsan IPD PJ

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang memandu Proton Wira secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan maut apabila keretanya merempuh sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di Kilometer 32.8 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang kira-kira pada jam 1.45 pagi.

“Lelaki yang memandu proton Wira yang melalui tempat kejadian memandu secara lawan arus bertembung dengan Honda City secara berdepan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keadaan kereta Honda City selepas sebuah kereta proton Wira yang melawan arus bertembung dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang awal pagi tadi. Ihsan IPD PJ

Tambah beliau, akibat rempuhan itu, lelaki yang berusia 72 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian.

Menurut Mohamad Fakhrudin, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta hadir ke ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette