Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Laporan rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir kilat di Baling, semalam.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya terdapat pembangunan ladang hutan di kompartmen lapan, Hutan Simpan Gunung Inas sejak 2019 yang mendapat kelulusan kerajaan Kedah.

“JPSM telah membuat semakan dan siasatan serta mengesahkan bahawa pokok yang dihanyutkan itu adalah bukan daripada kayu-kayu balak yang dijalankan pembalakan. Ini adalah kerana kayu-kayu itu dihanyutkan bersama akar-akarnya sendiri.

“Jadi kita mahu betulkan anggapan sesetengah pihak bahawa berlakunya pembalakan aktif yang menjadi punca berlakunya kepala air di sungai (Sungai Kupang) itu,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir di Bernama Radio.

Banjir lumpur di Baling, semalam, mengakibatkan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas serta meragut tiga nyawa, dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam.

Takiyuddin berkata, pihaknya juga amat dukacita atas kejadian bencana alam itu.

“Ini merupakan satu bencana alam, mungkin ada banyak sebab ia berlaku dan oleh sebab itu kementerian amat serius dalam menjaga biodiversiti dan alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast