Ruzairi Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersetuju melaksanakan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai Julai 2022 kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus agar tanggungan kos tersebut boleh membantu menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

Ia merupakan antara beberapa insentif bantuan di bawah Kluster UTHM Prihatin bagi meringankan beban pelajar yang terkesan akibat kenaikan harga barang.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Pelajar boleh berhubung dengan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan pihak Kolej Kediaman untuk mendapatkan maklumat-maklumat bantuan yang disediakan oleh pihak universiti.

Bagi pelajar yang terkesan dan memerlukan khidmat kaunseling boleh mendapatkan khidmat nasihat melalui Pegawai Psikologi UTHM di Pusat Kaunseling universiti. UTHM amat prihatin dengan situasi semasa dan kesulitan yang dialami para pelajar dan keluarga.

”Semoga usaha ini dapat membantu mengurangkan beban dan memudahkan urusan semua pelajar,” katanya.

Tambah beliau, pihak universiti telah mensasarkan peruntukan sebanyak RM2 juta jumlah bantuan kepada pelajar yang berkeperluan dan sehingga Jun 2022, pihak universiti telah membelanjakan melebihi RM1 juta khusus kepada pelajar berkeperluan. – MalaysiaGazette