Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker (dua dari kanan) menyerahkan kelulusan Peruntukan Baik Pulih Stadium Hoki kepada Yang Dipertua Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin (dua dari kiri) di Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kira-kira RM60 juta dana telah diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk kerja-kerja baik pulih fasiliti sukan di seluruh Pahang bagi tahun ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker memberitahu, sebanyak RM30 juta daripadanya bagi tujuan pembinaan Kompleks Belia dan Sukan Pahang yang baharu dan  dijangka siap sepenuhnya Ogos tahun depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker .

“Kita juga telah meluluskan bajet penyelenggaraan Stadium Darul Makmur sebanyak RM5 juta. Kompleks Rakan Muda Rompin sebanyak RM15 juta yang meliputi RM8 juta kepada Jabatan Kerja Raya, RM7 juta kepada Jabatan Pengairan Saliran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Peruntukan Baik Pulih Stadium Hoki kepada Yang Dipertua Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin di Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini.

Tambah Lian Ker, KBS juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan Kompleks Rakan Muda Maran di mana surat setuju terima akan diberikan pada 27 Julai ini.

“Selain projek besar, KBS juga meluluskan RM500,000 untuk kos penyelenggaraan Stadium Hoki Kuantan di Wisma Belia yang membabitkan penyelenggaraan pagar, bilik persalinan, padang dan sistem paip,” jelasnya.

Stadium Hoki Kuantan di Wisma Belia, Kuantan, Pahang.

Menurut Lian Ker, usaha berterusan menyelenggara fasiliti sukan diharap dapat mempergiatkan aktiviti komuniti dalam lebih banyak aktiviti sukan dan memupuk budaya untuk menyelenggara.

“Masalah kita, kita banyak kompleks tapi penyelenggaraan atau kesedaran awam dalam menjaga kemudahan yang ada masih tidak memuaskan,” tambahnya.

Justeru beliau mahu orang awam membuta laporan kepada KBS sekiranya terdapat kerosakan ketika menggunakan fasiliti sukan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. -MalaysiaGazette