Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas terkena tembakan peluru penabur dari senapang rakannya di Hulu Langat dekat sini hari ini.

Siasatan awal polis mendapati mangsa berusia 32 tahun bersama tiga rakannya dikatakan masuk ke kawasan hutan untuk ke kawasan kebun durian yang berada di atas lereng bukit yang jaraknya lebih kurang dua kilometer perjalanan.

“Setakat ini siasatan mendapati semasa dalam perjalanan salah seorang rakan yang membawa senapang patah telah tergelincir di lereng bukit dan senapang yang dipegang terpelanting dari tangan serta berlaku tembakan.

“Salah seorang rakan mereka yang berada di belakang dalam jarak lebih kurang tiga meter telah terkena tembakan tersebut dan disahkan mati di tempat kejadian setelah pasukan ambulans tiba di lokasi kejadian,” kata kenyataan Ibupejabat Polis Daerah Kajang hari ini.

Kejadian berlaku berhampiran Sungai Gabai.

Hasil siasatan yang dijalankan bersama pihak forensik mendapati pada badan si mati terdapat beberapa kesan tembakan peluru penabur dipercayai dari senjatapi yang dibawa rakan mereka itu.

Hasil semakan senjata api tersebut dilesenkan atas nama bapa saudara kepada salah seorang daripada rakan simati.

Dalam kejadian ini, ketiga-tiga rakan manhsa berumur lingkungan 36 hingga 43 tahun telah ditahan pihak polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Sek 8(a) Akta Senjata 1960 dan jika disabitkan kesalahan bunuh boleh dihukum mati manakala di bawah kesalahan Akta Senjata yang berkaitan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette