Ahli Parlimen Simpang Rengam turut mengelarkan Hakiem Stopa sebagai 'mat rempit' sama seperti label yang diberikan oleh netizen terhadap belia yang mempunyai sejarah tercicir daripada pendidikan sejak berusia 16 tahun itu.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr.  Maszlee Malik nampaknya senada dengan netizen yang tidak senang pempengaruh media sosial, Hakiem Stopa dibawa masuk ke sekolah dan berintraksi dengan pelajar.

Ahli Parlimen Simpang Rengam turut mengelarkan Hakiem Stopa sebagai ‘mat rempit’ sama seperti label yang diberikan oleh netizen terhadap belia yang mempunyai sejarah tercicir daripada pendidikan sejak berusia 16 tahun itu.

“Mat rempit masuk sekolah ✅. Mantan Menteri Pendidikan masuk sekolah ❎. Apa nak jadi dengan negaraku?” soalnya di media sosial.

Maszlee turut berkongsi pautan berita yang memaparkan tajuk “Mat Rempit Yang Dipilih” – Netizen Kutuk Sekolah Jemput Haqiem Stopa Bagi ‘Talk’ Pada Pelajar.

Portal tersebut melaporkan undangan Hakiem Stopa ke sekolah untuk menyampaikan ceramah tidak disenangi oleh netizen  berikutan imejnya yang ke arah ‘mat rempit’ dan ‘mat motor’.

Ia sekaligus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang bimbang beliau akan membawa contoh yang tidak baik kepada pelajar.

Kata netizen, pihak sekolah seharusnya membawa masuk tokoh tokoh yang lebih berkaliber dan layak bagi menyampaikan sebarang mesej kepada pelajar di sekolah.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan, Ketua Projek Belia Mahir Mohamad Rizan Hassan membawa Hakiem Stopa bertemu dengan pelajar di bawah Program ‘Cerita Orang Gagal’ dengan tema ‘buli itu jenayah’.

Program tersebut membawa mesej ‘jangan jadi macam saya’ dan ‘jangan pilih laluan saya’.

“Kita hendak sampaikan mesej supaya pelajar tahu mereka ada pilihan. Jika mereka memilih yang salah maka mereka akan melalui jalan yang susah.

“Memang betul Sekolah Henry Gurney melahirkan ramai pelajar cemerlang tetapi tak akan kita nak tunggu mereka masuk sekolah itu baru boleh dapat keputusan cemerlang. Itu mesej yang kita hendak sampaikan.

“Program kali ini kita bawa mereka yang pernah jadi pembuli dan mereka yang pernah dibuli. Pembuli yang kita jemput adalah bekas pelajar cemerlang Henry Gurney, Emam Sapekri yang mendapat 8A. Hakiem Stopa pula adalah mangsa buli di alam siber,” katanya.

Menurut beliau, melalui program itu pelajar dapat mempelajari kesan menjadi pembuli dan juga orang yang dibuli.

Hakiem Stopa dipilih kerana latar belakang pendidikannya yang tercicir dari sekolah tetapi mampu bangkit dan berjaya dalam arus perdana masyarakat.

Katanya, pada masa yang sama belia seperti Hakiem Stopa masih memerlukan bimbingan dan dorongan berterusan daripada masyarakat dewasa. – MalaysiaGazette