Bangunan Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysiamenaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

Menurutnya, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengambil keputusan untuk membuat pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari berikutan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif.

“Keputusan ini konsisten dengan pandangan MPC bahawa keadaan yang pertama kali berlaku ini sehingga memerlukan penetapan kadar OPR terendah yang pernah dicatatkan, kini semakin reda.

“Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. MPC akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya.

Bank Pusat itu menambah, sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Bagi ekonomi Malaysia, kegiatan ekonomi terus meningkat pada bulan-bulan kebelakangan ini dengan penunjuk eksport dan perbelanjaan runcit mengesahkan momentum pertumbuhan yang positif, disokong oleh peralihan ke fasa endemik.

Dalam pasaran pekerja, kadar pengangguran terus menurun dengan penyertaan tenaga kerja yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang bertambah baik.

Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh meskipun permintaan luaran dijangka sederhana disebabkan oleh rintangan yang dihadapi oleh pertumbuhan global.

Selain itu, pembukaan sempadan antarabangsa sejak 1 April 2022 akan menyokong pemulihan sektor berkaitan pelancongan.

Aktiviti dan prospek pelaburan terus disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun.

Walau bagaimanapun, risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, tambah BNM.

Sejak awal tahun sehingga kini, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.4% meskipun purata tersebut dijangka kekal dalam julat unjuran tahun ini iaitu 2.2% hingga 3.2%, inflasi keseluruhan mungkin lebih tinggi pada sesetengah bulan disebabkan terutamanya oleh kesan asas daripada harga elektrik.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi.

Bagaimanapun, kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

Ujarnya, prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri.

Pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi, bagaimanapun, faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

Tekanan inflasi terus meningkat disebabkan terutamanya oleh harga komoditi yang tinggi dan keadaan permintaan yang kukuh, meskipun keadaan rantaian bekalan global sedikit reda.

Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat.

Pada masa hadapan, kadar pertumbuhan global dijangka menjadi sederhana dan akan terus dipengaruhi oleh tekanan kos yang tinggi, konflik di Ukraine, keadaan rantaian bekalan global dan volatiliti pasaran kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast