Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Pengakuan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa perbincangan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada parti itu dikecam oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi.

Puad yang Yang di-Pertuan Dewan Negeri Johor itu berkata, pengakuan itu jelas menunjukkan Bersatu hanya mengutamakan jawatan daripada berusaha menyelesaikan masalah-masalah rakyat.

“Di saat kejatuhannya, Muhyiddin masih bernafsu besar menuntut jawatan TPM untuk PPBM (Bersatu).

”Maksudnya dari awal lagi keutamaan PPBM ialah jawatan. Dari awal lagi rupanya PPBM sudah mengugut Ismail Sabri kerana kejar jawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai kesimpulan, Puad berkata, UMNO lebih baik dan lebih gentleman daripada Bersatu.

Ini kerana, semasa UMNO sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, tidak ada perjanjian bertulis, malah, tidak ada syarat jawatan TPM.

Puad merujuk kenyataan Wan Saiful yang berkata perbincangan jawatan TPM yang dibuat antara presiden parti itu, Muhyiddin Yassin dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, bukan sesuatu yang baharu.

Malah katanya, jawatan itu adalah perjanjian yang dibuat antara Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail sebelum beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Puad menambah, semasa UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan, komponen itu juga tidak meletakkan syarat pemimpin UMNO akan dilantik sebagai TPM.

Sebaliknya, UMNO menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berdasarkan kepada kepentingan rakyat semata-mata.

”Masa UMNO sokong Muhyiddin jadi PM tidak ada perjanjian bertulis. Tidak ada syarat jawatan TPM.

”UMNO sokong Muhyiddin  jadi PM demi rakyat walaupun dia bersekongkol dengan DAP untuk jatuhkan BN di PRU14. Tetapi PPBM sokong Ismail jadi PM demi jawatan TPM bukan rakyat,” ujarnya.

Lantaran itu, kata Puad, amat wajar Ismail Sabri tidak melayan perjanjian itu kerana tidak ada faedah untuk rakyat.

Tidak sama PH-PPBM memungkiri janji rakyat 100 hari,” katanya lagi.

Minggu lalu, Muhyiddin berkata, beliau bertemu Ismail Sabri minggu bagi membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan TPMyang menurutnya berkait perjanjian PN dengan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette