Pekerja pasaraya menambah stok jualan minyak paket ketika di sebuah pasaraya di sekitar Jalan Temenggong, Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 JULAI 2022.

KLANG – Kenaikan harga barang keperluan terutama minyak masak, ayam dan telur mula memberi kesan kepada rakyat terutama suri rumah, ibu tunggal dan peniaga kecil.

Rata-rata menyifatkan, kenaikan itu membebankan mereka, lebih lagi kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak paket yang satu-satunya masih ada subsidi.

Seorang suri rumah, Siti Maslachah Abdul Mutalib, 48, berkata, kesukaran mendapatkan minyak masak paket amat ketara sekali, walaupun kerajaan memberi jaminan bekalan itu mencukupi di pasaran.

Katanya, akibat kesukaran itu, dia terpaksa juga beli minyak masak botol walaupun harganya lebih dua kali ganda dari sebelum ini kerana terdesak.

Maslachah Abdul Mutalib

Dia yang tinggal di Kampung Jawa, dekat sini, berkata, bukan dalam sehari dua ini bekalan minyak masak paket tidak ada di pasaran, malah sudah lama berlaku.

“Saya cari di kedai runcit, di pasar raya borong, bekalan ini tidak pernah ada dan sering menjadi rebutan suri rumah termasuk peniaga kecil.

“Hari-hari cari di kedai runcit sekitar kampung, saya tak pernah dapat beli dan alasan peniaga, minyak sudah habis, bekalan tidak sampai,” katanya yang mengusahakan gerai jualan makanan ringan kecil-kecilan di rumahnya.

Puteh Nazar

Bagi ibu tunggal, Puteh Nazari, 64, mengakui kehidupannya kian terhimpit akibat daripada kenaikan harga barang keperluan.

Ujar beliau, kalau dahulu boleh beli banyak barang dengan RM50, tetapi sekarang cukup untuk sebotol minyak masak tanpa barangan lain.

“Memang banyak bezalah, kalau dulu dengan duit RM50 dapat beli macam-macam, sekarang ni RM50 dapat apa? Telur pun dah naik. Makcik terpaksa berjimat cermat.

“Sekarang ini memang tak makan ayam sebab mahal. Nak beli tak mampu. Makcik ibu tunggal hanya bergantung bantuan zakat (Lembaga Zakat Selangor).

“Terpaksalah kurangkan makan ayam dan telur, kalau nak juga (makan ayam), makcik kongsilah dengan adik. Dia pun miskin,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya dalam Parlimen Kota Raja, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama Pengerusi Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan membuat terjahan minyak masak paket secara mengejut ke pasar raya borong dan kedai runcit sekitar daerah ini.

Dalam terjahan itu hanya satu pasar raya borong mempunyai bekalan minyak masak subsidi itu, manakala pasar raya borong lain dan beberapa kedai runcit tidak ada bekalan.

Norliza Baharuddin

Sementara itu, seorang lagi suri rumah yang juga peniaga pasar malam, Norliza Baharuddin, 50, berkata, dia dan suami hampir setiap hari datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan bekalan minyak masak paket dan bekalan barang keperluan.

Dia menjelaskan, di kawasan tempat tinggalnya di Pelabuhan Klang memang susah untuk mendapatkan bekalan minyak masak itu sehingga terpaksa ke Shah Alam mencarinya.

“Saya datang jauh ke pasar raya ini nak beli minyak masak paket, tapi dihadkan tiga paket untuk seorang. Mujur datang dengan suami, boleh beli enam paket, tapi perlu bayar di kaunter berasingan.

“Saya peniaga pasar malam, perlukan bekalan minyak masak mencukupi, tetapi dengan keadaan yang sekejap ada, sekejap tak ada, mengganggu operasi perniagaan.

“Sekarang ini bukan saja minyak masak mahal, barangan lain macam sayur, ubi kentang pun dah naik harga,” katanya.

Beliau yang meniaga makanan ringan tidak tergamak untuk menaikkan harga makanannya kerana kesiankan pembeli terutama kanak-kanak.

Katanya, walaupun keuntungan diperolehi semakin merosot, dia tetap berniaga demi menanggung dan menyara keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast