Muammar Raid (kanan) dan isterinya, Nadia didakwa memiliki wang kertas palsu berjumlah RM5,300 di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Sepasang suami isteri tidak mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki RM5,300 wang palsu pada 29 Jun lalu.

Tertuduh, Muammar Raid Abdul Malik, 33, dan isterinya, Nadia Mohamed Hussain @ Brian Michael Lewis, 27, membuat pengakuan itu selepas tuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama memiliki 53 keping wang kertas palsu RM100 yang mana mereka tahu bahawa wang tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Jun lalu jam 11.30 malam di sebuah bilik di alamat PMT 30 Mukim 8, Jalan Muthupalaniappan Sunway Wellesley, Bukit Mertajam di sini.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Kes dikendalikan oleh Pengawai Pendakwa Mohamad Syarafuddin Mamat Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Mohamad Syarafuddin memohon mahkamah menetapkan jaminan tinggi susulan kedua-dua tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu merayu dikenakan jaminan yang rendah atas alasan wanita itu sedang hamil dan tidak bekerja.

Malah, tertuduh lelaki turut mendakwa dia hanya seorang peniaga selain perlu menjaga ibu bapanya yang sudah uzur.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Selain itu, mereka juga dikenakan syarat tambahan yang mana perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta laporan diri setiap dua minggu sekali kepada pegawai penyiasat kes.

Mahkamah juga menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan