KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan yang menyediakan perkhidmatan pelayan pelanggan (GRO) warga asing di Jalan Sultan Ismail, di sini, diserbu pasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 166 warga asing ditahan dalam serbuan jam 11.30 malam semalam.
“Hasil risikan pihak kami mendapati premis ini dikunjungi ramai pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan. Ketika serbuan, pusat hiburan berkenaan penuh dengan pelanggan yang sedang berhibur.
“Terdapat cubaan melarikan diri dan provokasi daripada GRO asing, pekerja dan pelanggan semasa serbuan dijalankan,” katanya dalam kenyataan sambil menambah usaha tersebut tidak berjaya.

Menurut Khairul Dzaimee, siasatan polis mendapati pusat hiburan itu dipercayai baru sahaja beroperasi pada 5 Jun lalu dan menawarkan khidmat GRO warga asing dengan kadar harga serendah RM100 hingga RM1,000.
“Pelanggan boleh membeli selempang dengan tanda harga tersebut dan memilih gadis GRO dengan menyarungkan selempang itu.
“Secara keseluruhan seramai 166 warga asing yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan 133 wanita warga Thailand, seorang lelaki dan 12 wanita warga Vietnam, dua wanita warga Laos, enam lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita warga Indonesia malam tadi.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti terhadap tangkapan adalah mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – MalaysiaGazette