Seorang lelaki maut akibat merempuh tembok di Plaza Tol Penchala Lebuhraya Damanasara Puchong. Foto Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh Plaza Tol Penchala, Lebuhraya Damanasara Puchong lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubungan insiden itu pada pukul 1.24 pagi.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh tembok di laluan SmartTAG.

“Akibat rempuhan itu, mangsa yang berumur 37 tahun tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah kenderaan jenis MINI Cooper S rempuh tembok Plaza Tol Penchala Lebuhraya Damanasara Puchong. – Foto Ihsan PDRM.

Tambah beliau, kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi terus Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Azizi di talian 011-3231 1232 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette