Muhammad Rahim Ahmad dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini kerana menculik seorang kanak-kanak lelaki di Taman Scientex Pasir Gudang pada 11 Mei lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang penganggur yang sebelum ini tular menculik seorang kanak-kanak lelaki dijatuhkan hukuman penjara dua tahun bermula tarikh tangkapan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Muhammad Rahim Ahmad, 26, dijatuhkan hukuman tersebut selepas menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret, Mohd. Zulhilmi Ibrahim di sini hari ini.

Terdahulu, pada 17 Mei lalu, Muhammad Rahim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan minta dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun berhampiran Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang pada pukul 11.30 pagi pada 11 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga tujuh tahun beserta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Muhammad Arif Marzuki dan Danial Munir.

Pada 11 Mei lalu tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan tertuduh menculik seorang kanak-kanak lelaki yang memakai pakaian sekolah agama namun berjaya ditahan orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu, tertuduh yang merupakan lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan orang ramai selepas bertindak menculik kanak-kanak tersebut.

Mangsa, katanya, diculik suspek yang menaiki motosikal ketika sedang berjalan kaki di Sekolah Agama Taman Scientex.

Kemudia suspek mempelawa kanak-kanak itu menaiki motosikal dengan pujukan mahu menghantarnya pulang ke rumah sebelum bertindak menculiknya.

Siasatan mendapati suspek merupakan pemegang kad OKU pesakit mental dan hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methaphetamine.

Suspek juga masih dikehendaki polis di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.-MalaysiaGazette