Superintendent Ashari Abu Samah. Avaa Vanja husband slaps daughter domestic violence Kampong Pisang Bersiri-siri
Superintendent Ashari Abu Samah

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda yang mencabul dua wanita selepas memecah masuk dan menyamun di rumah mangsa di Setapak, dekat sini, semalam dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua mangsa samun itu pada jam 6.30 pagi semalam.

“Bertindak atas tangkapan awam, pihak polis telah menangkap seorang suspek lingkungan umur 27 tahun berhampiran tempat kejadian samun dan cabul itu.

“Siasatan awal polis mendapati suspek telah memasuki rumah mangsa ketika kesemua mangsa sedang tidur lena dan telah bertindak mengacukan senjata tajam ke arah mangsa sebelum diminta menyerahkan barangan berharga.

“Suspek selepas samun turut mengikat tangan, kaki dan mulut kesemua mangsa dan bertindak mencabul dan cuba merogol salah seorang mangsa namun cubaan rogol itu tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, suspek kemudian melarikan diri bersama barangan berharga milik kesemua mangsa melalui tingkap tandas.

Ujarnya, kesemua mangsa telah dirujuk segera ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

“Suspek telah dilibatkan dalam ujian saringan awal air kencing sebelum polis mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine serta THC,” katanya.

Menurut Ashari, kes disiasat bawah Seksyen 392/397, 354, 376/511 dan 377CA Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 12 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. – MalaysiaGazette