LONDON – Penyerang Manchester City, Raheem Sterling bersetuju dengan terma peribadi untuk menyertai seterunya dalam Liga Perdana Inggeris, Chelsea musim ini.
Pemain berusia 27 tahun itu mempunyai kontrak berbaki setahun bersama skuad Etihad itu dan menarik perhatian beberapa kelab utama di luar England.
Sekiranya kontrak itu dimeterai, Sterling akan muncul sebagai pemain pertama yang direkrut masuk oleh the Blues kendalian Thomas Tuchel yang diambil alih oleh pemilik baharu Todd Boehly menjelang musim EPL 2022/23.
Sterling yang menyertai skuad Pep Guardiola dari Liverpool dengan yuran £49 juta pada tahun 2015 menjaringkan 131 gol dalam 339 penampilan bersama juara EPL 2021/22 itu.
Perpindahan Sterling dijangka dimuktamadkan dalam waktu terdekat untuk membuka ruang kepada pemain itu menyertai skuad the Blues untuk jelajah pra-musim ke Amerika Syarikat pada minggu depan.
BBC Sport difahamkan, semua pihak di Stamford Bridge memberi ‘lampu hijau’ untuk pembelian pemain itu dan Sterling juga mengharapkan cabaran baharu dan tertarik dengan visi dan misi Tuchel bersama the Blues.
Selain Chelsea, beberapa kelab gergasi Eropah dari la Liga Sepanyol dan Bundesliga Jerman iaitu Barcelona, Real Madrid dan Bayern Munich turut mengintai rapat perkembangan pemain itu.
Malah Guardiola juga mengharapkan Sterling melupakan hasrat meninggalkan kelab itu dan terus kekal di Etihad.
Namun, Chelsea berjaya merembat khidmat pemain itu dengan kesediaan pemilik baharu kelab Stamford Bridge itu melabur dana besar untuk membawa masuk pemain antarabangsa England itu. – BBC Sport